KEM KEPIMPINAN MMPS 2011
Hari : Khamis, Jumaat dan Sabtu
Tarikh : 24 – 26 Mac 2011
Tempat : Seri Juluk Desort, Naka
Anjuran : Badan Dakwah dan Kebajikan
Tarikh : 24 – 26 Mac 2011
Tempat : Seri Juluk Desort, Naka
Anjuran : Badan Dakwah dan Kebajikan
LAPORAN PENDAFTARAN dan DOKUMENTASI
Hari Pertama, 24hb Mac 2011
Pendaftaran bermula di surau sekolah pada jam 2.45 petang sebelum bertolak ke Seri Juluk Resort, Naka. Pembahagian kumpulan dilakukan dengan membahagikan para peserta kepada 8 kumpulan. Seramai 86 orang peserta menghadirkan diri, manakala 7 orang peserta tidak dapat hadir. 8 orang fasilitator muslimat dijemput hadir. Jumlah urusetia seramai 29 orang yang hadir untuk menjayakan program kem kepimpinan ini.
Kami tiba di Seri Juluk Resort, Naka pada jam 4.15 petang. Setelah meletakkan barang di bilik penginapan, para peserta dikumpulkan di Dewan Utama untuk mendengar taklimat program yang disampaikan oleh fasi muslimin. Kemudian perlantikan penghulu Imran dan penghuluwati Siti Rahmah dilantik. Penyerahan barang amanah kepada para peserta diberikan, iaitu bendera pelbagai warna mengikut kumpulan dan nombor untuk setiap peserta.
Selepas solat Asar, LDK 1 diadakan iaitu sesi ta’aruf dan ‘trakemark’ bersama fasilitator dan menyanyikan lagu tema kem kepimpinan, “Sunnah Orang Berjuang”. Makan malam disediakan sebelum solat Maghrib berjemaah bersama fasilitator dan urusetia. Selepas solat Maghrib, tadarus Surah Yasin dilakukan bersama fasilitator di dalam setiap kumpulan. Selepas solat Isyak berjemaah, kehadiran penceramah Ustaz Radhi, bekas seorang penyanyi suatu ketika dahulu menyerikan slot motivasi di samping menyelitkan lagu yang berunsur dakwah beserta penerangannya.
Pada jam 10.20 malam, modul ‘Tajdid Niat’ dimulakan dengan menyanyikan lagu tema danTimb. kem komander muslimat mengemukakan 4 soalan utama kepada para peserta. Soalan pertama, “Apakah perasaan setibanya di kem?”, kedua, “Adakah bersedia untuk menjadi pemimpin?”, ketiga, “Adakah bersedia untuk ditarbiyah?” dan soalan keempat, “Adakah bersedia untuk menjadi ahli bukan pemimpin?”. Aktiviti diteruskan oleh kem komander muslimin di kawasan lapang yang diterangi dengan cahaya lampu. Kem komander menegaskan kepada para peserta tentang 3 perkara, iaitu: menepati masa, mematuhi arahan dan berdisplin jika mereka tidak mahu dikenakan denda. Para peserta diminta berada di dalam satu barisan dan peserta muslimin dan muslimat berbaris secara bertentangan antara satu sama lain.
Seterusnya, kem komander meminta salah seorang peserta muslimin dan muslimat membacakan jawapan mereka mengenai 4 soalan utama yang ditanyakan kepada mereka sebentar tadi.
Slot diteruskan dengan peserta disuruh memberikan tema dan objektif yang tepat dan memberitahu petunjuknya ada di sekitar kawasan itu. Lalu para peserta dibahagikan beberapa kumpulan dan diberitahu kawasan yang perlu dicari oleh setiap kumpulan. Kemudian, setelah para peserta berjaya mendapatkannya, mereka diminta menyebutnya tanpa melihat kepada kertas itu dan diberi masa selama 1 minit. Setiap kumpulan perlu mengingati tema dan objektif yang disebut dengan baik, sekiranya tidak dapat dilakukan, mereka akan diberikan denda dengan mencium batang pokok dan tiang elektrik. Para peserta berjaya menjawab soalan-soalan dan mengingat dengan baik serta tidak ada peserta yang dikenakan denda pada malam itu.
Pada jam 11.50, post-mortem diadakan antara fasilitator dan urusetia. Terdapat beberapa komentar yang dilontarkan. Antaranya mengenai makan yang tidak serentak di antara muslimin dan muslimat yang menyebabkan kelewatan waktu untuk meneruskan slot yang seterusnya. Kemudian, diminta kekosongan waktu diisikan dengan memperbanyakkan zikir. Kem komander memberi taklifat kepada peserta untuk zikir 7 sebanyak 33 kali, membaca surah Saff ayat 1-5 sewaktu melakukan LDK. Solat fardhu juga diketengahkan bahawa fasilitator dan urusetia perlu melaksanakannya secara berjemaah dengan para peserta. Terdapat juga fasilitator yang memberi komen supaya arahan tidak dikeluarkan banyak kali. Seterusnya, Ustaz Abdul Rahim memberi teguran sedikit sebanyak kepada fasilitator dan urusetia serta menanyakan mengenai penginapan, pengangkutan dan sebagainya untuk memastikan segalanya berada di dalam keadaan baik.dan teratur.
Hari Kedua, 25hb Mac 2011
Pada jam 5.15 pagi, Qiamullail dilaksanakan oleh para peserta, fasilitator dan urusetia yang berimamkan fasilitator muslimin. Qiamullail dimulai dengan solat sunat Tahajjud, solat sunat Taubat, solat sunat Hajat dan diakhiri dengan solat sunat Witir. Seterusnya solat Subuh secara berjemaah dilaksanakan.
Pada 7.30 pagi, aktiviti riadah dilakukan oleh para peserta bersama fasilitator di dalam kumpulan masing-masing. Kemudian, bersarapan pagi pada jam 8.00 pagi. Seterusnya slot kuliah pagi yang disampaikan olehUstaz Salim berlangsung pada jam 9.30 pagi. Ustaz menyampaikan kuliah mengenai “Pemimpin Idaman Penyelamat Ummah” serta memberi huraian menarik dan mantap tentang “10 Muwasafat Pemimpin”.
Slot seterusnya ialah pembentangan kertas kerja yang bermula pada jam 11.00 pagi. Slot pembentangan kertas kerja disampaikan oleh fasilitator muslimin iaitu Suhaimi Saad dengan menerangkan item-item yang perlu ada di dalam sesuatu kertas kerja supaya dapat menghasilkan kerja yang baik diterima. Para peserta membentangkan kertas kerja mereka mengikut organisasi masing-masing pada jam 12.15 tengahari dan selesai pada 12.45 tengahari. Kemudian, para peserta muslimin menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid bersama fasilitator dan urusetia muslimin.
Slot diteruskan dengan para peserta diminta membuat Taqwim organisasi sekolah mengikut organisasi masing-masing dalam setiap kumupulan dan dibantu oleh fasilitator serta urusetia. Pada jam 4.00 petang, para peserta diminta membuat pembentangan taqwim yang telah dirancangkan. Pembentangan selesai pada jam 4.45 petang. Selepas itu, para peserta dikehendaki menyalin pakaian riadah untuk meneruskan aktiviti seterusnya, iaitu ‘Explorace’.
Selepas solat Asar berjemaah bersama fasilitator dan urusetia, ‘Explorace’ dilakukan pada jam 5.20 petang. Aktiviti ini mempunyai 5 ‘check point’. Setiap ‘check point’ ada 2 orang fasilitator muslimin dan muslimat serta terdapat 1 adegan denda yang diketuai oleh kem komander dan Timb. Kem komander yang berada di ‘check point 1’.
Di ‘check point’ 1, para peserta diberikan sebanyak 8 soalan. Mereka perlu menjawab kesemua soalan dengan betul sambil fasilitator menitiskan cairan panas lilin ke tapak tangan setiap ketua kumpulan. Jika para peserta tidak dapat menjawab atau memberi jawapan yang salah, mereka akan disuruh pergi ke adegan denda dan akan di curahkan air tepung ke atas mereka oleh ketua dan timb. kem komander. Di ‘check point’ 2 pula diberi tajuk “Ukhwah dan Kerjasama”, para peserta perlu mengangkat meja yang mengandungi batu-batu seramai 9 orang dan hanya seorang yang memegang batu, denda yang dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan ialah mereka perlu menyanyikan lagu sekolah. Seterusnya, di ‘check point’ 3, “Strategi dan Sikologi” yang mana para peserta perlu memikirkan strategi yang baik dan berkesan dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Di ‘check point’ 4, iaitu “Safa dan Marwah”, para peserta perlu belari ke kawasan yang ditentukan oleh fasilitator sebanyak 7 kali. Selepas itu, peserta akan diberikan segelas air, mereka diuji sama ada memberikan dahulu air kepada sahabat yang dahaga ataupun tidak. Akhir sekali ‘check point’ 5, “Wala’ dengan Ketua”, para peserta akan ditutup mata dengan kain dan fasilitator akan memberitahu ahli kumpulan bahawa ketua kumpulan menyuruh mereka mencium bau air ikan bilis dan bawang. Ketua kumpulan diberikan air gula dan terpulang kepada ketua kumpulan sama ada ingin menyuruh mereka minum atau sebaliknya.
Selepas makan malam dan solat Maghrib berjemaah, fasilitator memberikan sedikit pengisian dan seterusnya solat Isyak berjemaah bersama fasilitator serta urusetia. Kemudian, pada jam 9.20 malam, sesi taa’ruf fasilitator muslimin dan muslimat dilakukan. Setelah selesai fasilitator memperkenalkan diri masing-masing, slot diteruskan lagi di dataran lapang Seri Juluk.
Kem komander menyuruh para peserta mengambil buah limau bali dan memerhatikan bagaimana mereka melakukannya. Ternyata hasil yang dilakukan seperti agak mengecewakan kem komander. Lalu, para peserta diberi teguran supaya tekankan musyawwarah dalam melakukan sesuatu tindakan, perlukan aturan yang teliti, dan perlu menanyakan apa yang dikehendaki oleh kem komander. Selepas itu, para peserta disuruh berada dalam satu barisan dan memberi arahan kepada penghulu dan penghuluwati untuk mengambil buah limau. Para peserta perlu berada rapat dan memegang peserta di hadapan serta di suruh berjalan sambil menghabiskan limau tersebut. Para peserta diberi masa selama 10 minit.
Sebelum menikmati jamuan BBQ, para peserta diminta membuat persembahan berdasarkan nombor-nombor bertuah yang dicabut oleh fasilitator. Antara persembahan yang dilakukan salah seorang peserta muslimat ialah, deklamasi sebuah sajak, membaca doa makan dan memberitahu adab-adab makan. Manakala peserta muslimin pula, mengumandangkan azan dan menceritakan kisah yang menyayat hati iaitu tentang kematian ayahnya.
Selepas makan, para peserta membaca surah Al-Mulk bersama fasilitator. Kemudian, ‘post-mortem’ fasilitator dan urusetia diadakan. Terdapat beberapa komen dan cadangan yang diberikan fasilitator dan urusetia. kem komander memberi penjelasan dan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang timbul dengan baik. Seterusnya, kem komander memberitahu tentatif untuk keesokan hari dan memberi ucapan serta kata-kata kepada semua fasilitator dan urusetia memandangkan ‘post-mortem’ yang diadakan itu merupakan yang terakhir pada malam itu.
Hari Ketiga, 26hb Mac 2011
Hari terakhir kem kepimpinan MMPS 2011 di Naka bermula dengan slot muhasabah pada pukul 4.00 pagi. Slot itu berlangsung di kawasan padang resort dengan nyalaan unggun api. Bagi kumpulan yang tidak menjaga barang amanah dengan baik iaitu bendera, akan diambil oleh fasilitator dan akan dilemparkan ke dalam unggun api. Bagi peserta yang benar-benar mahukan bendera tersebut akan berlari mendapatkannya sebelum hangus dibakar api. Seterusnya, para peserta diberi motivasi secara tegas dalam memberi penekanan terhadap kepimpinan.
Kemudian, para peserta solat Subuh berjemaah bersama fasilitator dan urusetia. Kuliah subuh diserikan dengan kedatangan Ustaz Nizam Noh menyampaikan motivasi tinggi dan menarik kepada para peserta agar mereka lebih bersemangat untuk menjadi seorang pemimpin. Setelah bersarapan pagi, ceramah pagi disampaikan oleh Ustaz Azki, pensyarah daripada KUIN dengan memberikan pendedahan kepimpinan melalui power point atau ‘slideshow’ yang menarik dan berkesan. Selain itu, Ustaz Azki juga memberikan beberapa soalan yang membina kepada para peserta tentang kepimpinan.
Akhir sekali, acara penutupan majlis diserikan dengan kedatangan PK Akademik, Ustaz Yusri Bin Yahya, Ustaz Salim bin Hj Mahmood serta kem komander, saudara Afifuddin. Majlis dimulai dengan ucapan penutup oleh Ustaz Salim dan seterusnya Ustaz Yusri. Kemudian majlis penutupan dirasmikan oleh Ustaz Yusri dengan lafaz ‘basmallah’. Sebelum mengakhiri program, para peserta disediakan ‘slideshow’ untuk ditonton, iaitu rakaman detik-detik yang sempat diambil sepanjang program sebagai kenangan 2011.
Seterusnya sesi penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik muslimin dan muslimat. Juara bagi kumpulan muslimin dimenangi oleh kumpulan 4, manakala kumpulan muslimat dimenangi oleh kumpulan 3. Fasilitator juga turut menerima cenderamata daripada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan atas kesudian dan kerjasama mereka dalam menjayakan kem kepimpinan MMPS 2011. Kemudian para peserta membaca doa perpisahan dan bersalaman di antara satu sama lain. Majlis berakhir pada jam 2.00 petang.
Selepas makan tengahari dan solat Zohor, para peserta, fasilitator dan urusetia mengemas barang masing-masing untuk pulang. Bas bertolak ke MMPS pada jam 3.00 petang dan Alhamdulillah perjalanan berjalan lancar dan berjaya tiba di MMPS dengan selamat.
ORGANISASI PUTERI
| ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
